Tuesday, January 3, 2012

berpolitik di universiti

Assalamualaikum,

Hati ini terpanggil untuk menulis entri ini adalah susulan daripada tindakan pelajar-pelajar dan orang luar berdemostrasi di luar perkarangan Ibu Kandung Suluh Budiman (UPSI). Sejak kali pertama kaki ini melangkah di UPSI pada tahun 2002 aku tidak pernah terfikir perkara ini akan berlaku. Demostrasi ini dijalankan ekoran daripada rasa tidak puas hati sebilangan pelajar dan atas dasar menuntut bela nasib seorang mahasiswa yang kononnya dizalimi (waallahualam). Hanya Allah yang maha mengetahui.

Namun hati kecil ini tertanya-tanya apakah matlamat mereka melangkah masuk ke universiti pada hari pertama? Adakah pada hari pertama lagi mereka telah menyematkan cita-cita yang tinggi untuk menjadi ahli politik? Atau mereka bercita-cita untuk menjadi seorang murabbi yang disegani oleh masyarakat setempat? Tepuk dada tanya akal.

Sekiranya pada hari pertama telah bercita-cita untuk menjadi ahli politik, maka universiti bukanlah gelanggangnya. Sepatutnya mereka menyertai parti politik yang mereka ingin wakili. Berjuang dan berkempen sepuas-puasnya agar dapat dilantik berbagai wakil bahagian atau cabang yang dapat mewakili suara rakyat jelata.

Tetapi sekiranya pada hari pertama semangat berkobar-kobar untuk menjadi murabbi, maka tanamlah semangat untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin sebagai bekalan untuk mengajar di sekolah-sekolah yang akan diamanahkan. Universiti bukan sahaja tempat untuk mendapatkan ilmu malah tempat untuk membina kemahiran (soft skills) yang diperlukan untuk menjadi seorang manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia yang penuh cabaran ini.

Jadi aku terpanggil untuk menyeru kepada mahasiswa-mahasiswa yang masih berada di menara gading supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian. Agar dengan kelulusan yang digenggaman dapat menjadi batu loncatan untuk memperbaiki kehidupan yang diredhai oleh Allah.

Namun sekiranya dalam lubuk hati anda amat cenderung untuk menjadi seorang pemimpin yang bakal mewakili mana-mana parti-parti politik negara, maka jadikan universiti ini sebagai tempat untuk membina soft skills yang perlu ada sebagai seorang pemimpin. Sebagai contoh sertai aktiviti berpersatuan, kelab atau kerja-kerja amal yang dianjurkan oleh pihak universiti supaya dapat menjadi platform kepada anda untuk mempelajari dan mengasah bakat menjadi seorang pemimpin yang disegani.

Yang pasti politik demostrasi di jalanan tidak menampakkan ketokohan kepimpinan anda. Malah menampakkan kebodohan anda dalam menangani sesuatu permasalahan. Waallahualam.

Jom dengar apa kata Tun M.

No comments:

Post a Comment